Sunday, June 7, 2009

Jangan anggap semua orang tahu...

Tiga hari lepas aku berkunjung ke Setiu bersama anak lelaki untuk melihat dan merasai suasana di mana isteriku berkerja dan bercadang untuk bermalam di Lembah Bidung tempat isteriku menginap. Sebelum aku meninggalkan kediaman ku aku sempat meninggalkan pesan kepada salah seorang anak jiranku yang sedang belajar di tingkatan enam atas agar dapat membantuku memberikan makan ikan-ikan peliharaan ku di dalam akuarium dan membuka switch lampu di halaman rumah ku. Setelah menunjuk cara bagaimana nak memberi makan dan di mana nak di tekan switch lampu aku pun bertolak ke Setiu lebih kurang pukul 11.00 pagi.

12.30 p.m. ...........Aku berhenti sekejap di Kelulut untuk makan laksa kuah masak kegemaranku manakala anak lelaki ku makan nasi putih bersama ayam masak sup. Setelah habis makan laksa aku makan pula sebiji telur rebus sambil menunggu anakku menghabiskan nasinya. Entah mengapa kelihatan anak lelaki tidak berselera untuk makan.. katanya dah kenyang. Mungkin perutnya masuk angin kerana dari pagi belum makan.
2.00 p.m. ... Aku tiba di Lembah Bidung disambut gembira anak bongsuku yang berada bersama kedua-dua kakaknya. Sebelah petangnya kami ke pantai Merang bermain layang-layang serta menikmati angin Laut China Selatan. Ramai juga pengunjung yang datang bersiar-siar hari itu. Lewat petang kami singgah di sebuah kedai makan menikmati roti canai dan mee hailam. Quite a good taste.. ok la.. Harganya pun boleh tahan ... murah.. berbeza dengan harga di Pekan Kerteh.
Besok paginya aku ke sekolah tempat isteriku bertugas untuk memeriksa status internet di sana. Setelah di semak ternyata wireless routernya rosak dan laporan susulan dibuat kepada pihak yang berwajib. Seperti yang dijanjikan sebelah petangnya kami singgah ke Taman Tamadun Islam dalam perjalanan pulang ke Kerteh. Seronok sekali anak-anak ku berkunjung ke sana sambil melihat monumen-monumen tentang pembangunan Islam walaupun diakhir kunjungan hujan turun dengan lebatnya.
10.40 malam.... Aku tiba di kediamanku di Kerteh. Setelah hampir semua barang-barang di bawa masuk ke dalam rumah aku terus menghampiri akuarium ikan peliharaanku. Terkejut aku dibuatnya apabila aku dapati air di ketiga-tiga akuarium ikanku kelihatan keruh. Beberapa ekor ikan lapam mas dan gold fish aku kelihatan timbul dipermukaan air. Setelah penutup akuarium dibuka aku dapati biji-biji makanan ikan penuh timbul di atas air. Aku cepat-cepat mengalih ikan-ikan yang hidup ke dalam bekas lain dan terus menukarkan air di ketiga-tiga akuarium yang tercemar itu. Hampir 2 jam baru selesai dan sejumlah 15 ekor ikan mati dan 14 ekor lagi dapat diselamatkan.
Rupa-rupanya anak jiran aku itu tidak tahu selok belok tentang memelihara ikan. Dia menuang hampir sebotol makanan ikan di ketiga-tiga akuarium ku itu. Katanya dengan berbuat demikian dia tak perlu memberi makan banyak kali. Jimat masa dan tenaga.
Adui... apa nak buat, nak salahkan dia semata-mata silap aku juga kerana menganggap beliau mungkin tahu apa perlu dibuat .. tapi ... tanggong sendirilah..

Thursday, June 4, 2009

Tragedi atau Tergedi



Hari ini aku bersiap-siap untuk pergi bercuti bersama-sama anak lelaki ku yang selama ini sudah agak lama terperap di rumah dengan rutin harian yang tiada kesudahannya. Sebelum meneruskan perjalanan aku singgah sebentar di kedai runcit berhampiran kediaman ku untuk membeli sedikit bekalan (jimat masa dan kos makan dalam kereta). Sedang aku membayar di kaunter aku terdengar perbualan beberapa pemuda yang bercerita tentang stadium baru di Kuala Terengganu runtuh pagi tadi.. Terkejut jugak aku.. stadium Sultan Mizan runtuh ??? Stadium yang tak sampai setahun dibina dan menjadi kemegahan rakyat Terengganu runtuh..
Dalam perjalanan aku melencung sekejap ke kompleks sukan Terengganu untuk melihat sendiri apa yang terjadi. Terkejut aku dibuatnya.. nyata betul dari jauh kelihatan bumbung stadium itu roboh..


Bagaimana ianya boleh terjadi. Di manakah silapanya....
Memang ianya sudah suratan takdir tetapi kejadian yang berlaku ini adalah untuk iktibar semua pihak terutama kepada mereka yang terlibat secara langsung dan bertanggung jawab terhadapnya...
Pikir-pikirlah atau ... lu pikirlah sendiri...

Nasib Ikan Guppy ku

Aku nak kongsi lagi satu peristiwa yang menimpa diriku 3 minggu yang lepas.
Petang tu aku pulang seperti biasa dari pejabatku. Seperti mana biasa setelah aku park kenderaan ku aku memberi makan ikan-ikan peliharaanku. Tak banyak ada 3 akuarium (pelbagai spesis ikan spt. goldfish, lampam emas dan kelisa) dan dua kolah air yang aku jadikan tempat pembiakan ikan guppy.
Aku menjadi hairan apabila aku dapati penutup kolah air tempat aku menempatkan ikan guppy terbuka. Bila aku dekati aku dapati ikan guppy yang beratus ekor ku pelihara hanya tinggal beberapa ekor sahaja. Ikan guppy yang ku bela ni jenis baka yang besar dan cantik sekali. Hampir setahun aku memeliharanya. Tak sangka pula bila dah membiak macam ni senang-senang je ada orang yang kebas. Ya lah mungkin silapku kerana kolah air itu aku letakkan diluar pagar rumah ku tapi selama ni takde pun kehilangan.
Setelah disiasat, jiran depan rumahku ternampak 3 orang budak (bukan dari kawasan perumahan ini) sedang asyik menangguk sesuatu dari kolah air ikan peliharaanku. Bila ditanya mereka menjawab yang tuan rumah membenarkan mereka mengambil ikan-ikan tersebut tanpa sedikit rasa ragu-ragu atau takut.
Bila difikirkan kembali .... berani betul-betul budak-budak sekarang malah bijak pula menipu. Sehingga jiran depan rumahku terkedu kerana percaya akan alasan budak-budak itu. Mulanya timbul jua rasa marah dan ingin mencari budak-budak itu tetapi memikirkan di mana aku nak cari sedangkan aku tak kenal mereka aku lupakan saja niatku. Tambahan pula silap aku jugak kerana meletakkan kolah air di luar pagar rumah ku. Tapi apa agaknya mereka buat dengan ikan guppyku yang beratus ekor itu.....

Nilai seorang pelajar kolej

Minggu lepas.. sedang aku sibuk mengemas rumah sambil mendengar radio, aku diganggu dengan bunyi door bell rumahku. Mulanya aku malas nak layan kerana sangka ku mungkin kawan-kawan anak ku yang sering bertandan ke rumah menekannya. Tapi setelah berkali-kali ia terus berbunyi aku pun membuka pintu hadapan rumahku dan ternampak seorang pemuda menggalas beg sedang berdiri di luar pintu pagar rumahku. Bila dia perasan kelibatku pemuda itu terus memberi salam dan melangkah menghampiriku sambil menghulurkan tangan.
Sedetik itu terlintas dibenak fikiran ku agar aku tidak menyambut salam tangannya kerna bimbang akan kejadian yang tidak diingini.. manalah tahu kalau-kalau dia guna ilmu pukau dan terus masuk ke dalam rumah dan.. Pemuda itu nyata perasan akan ketidak selesaan ku lalu menjelaskan bahawa beliau adalah pelajar kolej berasal dari Sarawak dan sedang belajar di salah sebuah kolej di Kuantan. Buat masa ini beliau sedang bercuti sempena cuti penggal kolejnya dan bertandan ke sini untuk menjual sedikit barangan bagi menampung keperluannya. Pemuda itu mengeluarkan beberapa barangan dari beg galasnya yang mana kebanyakkan nya adalah berupa pewangi kereta dan rumah. Pada mulanya aku menolak dengan memberi alasan bahawa aku telah memiliki pewangi tersebut.. namun pemuda itu terus merayu kononnya ia memerlukan perbelanjaan tambahan bagi beliau untuk membeli tiket kapalterbang untuk pulang ke kampong.
Melihat pada wajahnya yang agak kudus aku menghulurkan wang RM 10.00 bagi harga pewangi yang ditawarkan itu. Dengan ucapan terima kasih beliau terus berlalu dari situ.

Petang semalam.. Aku sedang mengangkat kain di jemuran sambil anak bongsuku bermain skuter mainannya di halaman depan rumahku. Tiba-tiba anakku memanggilku katanya ada seorang anak muda hendak ketemu dengan ku. Aku terus ke laman dan mendapati seorang pemuda juga menggalas sebuah beg sedang berdiri di depan pagar rumahku. Sambil menjawab salamnya aku bertanya apa tujuan pemuda tersebut. Katanya beliau adalah seorang pelajar kolej yang sedang menuntut di salah sebuah kolej di ibu kota dan sedang bercuti penggal. Berasal dari Sabah dan berada di sini bersama-sama kawannya untuk menjual sedikit barangan bagi menampung keperluan perbelanjaannya. Beliau terus menunjukkan beberapa keping kaset dan buku agama yang nilainya dalam lingkungan RM 15.00.
Pada mulanya aku menolak untuk membelinya dengan alasan buku-buku tersebut telah banyak dalam simpananku namun anak bongsuku terus meminta agar aku membelinya kerana tertarik dengan ilustrasi kartun yang ada pada kulit bukut tersebut. Aku pun membayar RM 10.00 untuk buku tersebut tanpa kaset..

Hari ini... 5.30 petang aku sedang berehat di set kerusi batu di depan rumahku sambil berbual dengan anak ku yang baru saja bermula cuti persekolahannya. Tiba-tiba aku di sapa oleh seorang pemuda yang menggalas sebuah beg kanvas berwarna hijau. Sekilas pandang aku dah boleh agak tentu pemuda ini mempunyai agenda yang sama seperti pemuda-pemuda sebelum ini. Ternyata tekaan ku tepat sekali. Kali ini dia menjual pewangi manik berwarna-warni dengan nilai RM 10.00 untuk 3 bungkus. Aku memandang wajahnya buat seketika.. menjadi ia serba salah.. Aku menceritakan kepada pemuda ini tentang peristiwa yang serupa yang aku alami sebelum ini. Beliau menunjukan rasa terkejut dan menyatakan beliau tidak ada hubung kait dengan mereka. Aku pun terus bertanya padanya apakah tujuan sebenar disebalik semua tindakan mereka. Pemuda itu tergamam dan berubah airmukanya.. Sekonyong itu rakannya yang seorang lagi datang menghampiri dan turut mendengar pertanyaan ku yang ku ulang buat kedua kalinya.. Pemuda itu nampak gelisah dan terus bertanya padaku sama ada aku ingin membeli pewangi itu atau tidak... aku tetap dengan pendirianku memohon penjelasan dari pertanyaan ku itu.. Melihat mereka terus membisu aku pun mengeluarkan duit RM 10.00 dan menghulurkan kepadanya.. tak ape ambillah duit ini kalau kamu memerlukannya tapi aku pinta agar mereka memikirkan semula persoalan yang aku kemukakan itu tanpa memgambil pewangi yang dihulurkan padaku........